fb fb fb fb fb

Kadar dividen ASB 2025 cerminkan keyakinan pelabur

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR , 21 Disember - Pengumuman kadar dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) sebanyak 5.75 sen seunit bagi tahun 2025 disifatkan sebagai petunjuk kepada pengurusan dana yang cekap serta tahap keyakinan pelabur yang kukuh terhadap pelaburan domestik.

Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, kadar dividen tersebut menunjukkan keupayaan pengurusan ASB dalam mengurus dana secara berkesan dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.

"Pengumuman dividen ASB 2025 pada kadar 5.75 sen untuk setiap unit adalah satu petunjuk bahawa pengurusan dana ini telah melaksanakan pengurusan dana yang sangat cekap dan baik serta menunjukkan bahawa pelabur-pelabur mempunyai keyakinan terhadap pelaburan domestik.

"Jadi, ianya adalah satu petanda yang sangat baik kepada pelabur-pelabur, terutamanya pelabur yang telah matang usianya, untuk memastikan mendapatkan pelaburan yang sangat stabil," katanya ketika dihubungi RTM.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa peningkatan kadar dividen daripada 5.0 sen kepada 5.75 sen seunit tidak semestinya mencerminkan pertumbuhan ekonomi yang pesat, sebaliknya menggambarkan keadaan ekonomi negara yang stabil dan berupaya menyokong peluang pelaburan yang kompetitif.

Menurut beliau, kestabilan itu penting bagi memastikan pulangan pelaburan yang konsisten kepada pelabur dalam jangka panjang.

Sehubungan itu, beliau berharap prestasi ASB akan terus kekal positif bagi menyediakan peluang pelaburan yang stabil kepada para pemegang unit pada masa hadapan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM