fb fb fb fb fb

KDNK suku keempat diunjur berkembang hingga 5.3 peratus

Foto fail

KUALA LUMPUR, 11 November -Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku keempat tahun ini diunjur berkembang antara 5.1 hingga 5.3 peratus, disokong oleh prestasi kukuh penggunaan domestik dan aktiviti sektor perlombongan.

Menurut Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPP Wealth Manager Limited, Mohd Sedek Jantan, unjuran itu didorong oleh perbelanjaan isi rumah stabil serta sumbangan beberapa sektor utama ekonomi negara.

“Banyak insentif kerajaan tertumpu kepada penggunaan domestik. Ia bukan sahaja melibatkan perbelanjaan isi rumah, tetapi juga peningkatan pembelian hartanah yang secara tidak langsung menyumbang kepada pertumbuhan KDNK negara,” katanya.

Beliau berkata, unjuran keseluruhan KDNK bagi tahun 2025 dianggarkan sekitar 4.8 peratus, dengan kadar pertumbuhan antara 5.0 hingga 5.1 peratus bagi tempoh Julai hingga Disember.

Ia sejajar dengan anggaran rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebanyak 5.2 peratus.

Mengulas mengenai ketidaktentuan global, beliau menjelaskan risiko utama kekal berpunca daripada perang tarif Amerika Syarikat–China serta ketegangan geopolitik di Asia Barat yang terus mempengaruhi perdagangan serantau.

Namun katanya, impak berkenaan dapat diminimumkan melalui Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat serta beberapa perjanjian dua hala yang dimeterai sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 baru-baru ini.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN