JANDA BAIK, 11 Januari - Kawasan pelancongan Janda Baik, di Bentong, Pahang ditutup sepenuhnya buat sementara dari sebarang aktiviti pelancongan.
Penutupan itu ekoran kemusnahan banyak fasiliti pelancongan akibat kejadian kepala air pada 18 Disember lalu.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, seramai 33 pengusaha chalet dan 300 pekerja hilang pekerjaan dengan kerugian mencecah hampir RM3 juta sebulan.
"Kawasan ini secara keseluruhannya ditutup dan kita akan buat pengumuman apabila kawasan ini dapat dibuka semula. Jadi saya akan minta tourism Pahang kategorikan tempat-tempat yang boleh diduduki, tempat-tempat yang tidak boleh diduduki di Janda Baik," ujarnya ketika melakukan tinjauan di kawasan terjejas banjir di sini.
Katanya, beliau akan berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan membuat permohonan rasmi kepada Kerajaan Pusat bagi memberi perhatian khusus kepada usaha membaikpulih kemudahan asas di kawasan Janda Baik.