KUALA LUMPUR, 11 Januari - Industri minyak sawit yang menjadi penyumbang keempat terbesar kepada ekonomi negara dijangka terus mengekalkan prestasi lebih baik tahun ini.
Prospek positif itu akan disokong penawaran dan permintaan yang seimbang serta kemasukan tenaga buruh asing dalam masa terdekat.
Menurut Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez, bagi 11 bulan pertama tahun lalu, nilai eksport produk sawit berjumlah RM95 bilion.
Angka itu katanya, diunjur melebihi RM100 bilion untuk keseluruhan 2021.
"Dari segi harga dan pasaran, kita melihatkan kepada mungkin dalam tiga atau enam bulan akan datang market harga akan sentiasa kukuh dan apa yang penting juga ialah kita mengharapkan bahawa pada tahun 2022 ini, prospek akan lebih baik dimana dengan kembalinya pekerja ini hasil akan meningkat dan kita juga mengharapkan juga di peringkat industri, pemain industri juga untuk sama-sama mengambil kesempatan dengan harga yang tinggi ini untuk mereka melabur dalam mekanisasi dan automasi yang mana ini akan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh," ujarnya dalam temubual dengan wartawan RTM.
Dalam perkembangan berasingan, Maybank Investment Bank Bhd turut positif terhadap prospek sektor perladangan pada tahun ini.
Harga minyak sawit mentah (MSM) diunjur pada RM3,200 satu tan tahun ini, berbanding RM4,430 satu tan tahun lalu.