fb fb fb fb fb

Kadar jangka pendek diunjurkan kekal stabil, disokong operasi BNM

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 27 Ogos- Kadar jangka pendek diunjurkan kekal stabil pada Selasa, dengan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) akan menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.

Mudah tunai dianggarkan berjumlah RM36.01 bilion dalam sistem konvensional, dan RM19.99 bilion dalam dana Islam.

Hari ini, bank pusat akan menawarkan dua tender repo berbalik iaitu RM1.5 bilion untuk 31 hari dan RM1.0 bilion bagi 92 hari.

Selain itu, BNM akan melaksanakan satu tender repo berbalik Islam bernilai RM100 juta untuk 31 hari.

BNM juga mengumumkan ketersediaan kemudahan repo berbalik, perjanjian jual dan beli semula, serta kemudahan murabahah komoditi bercagar dengan tempoh satu dan tiga bulan.

Pada pukul 4 petang, BNM akan melaksanakan satu tender semalaman konvensional RM38.5 bilion dan satu tender semalaman murabahah bagi RM20.1 bilion.- BERNAMA

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI