fb fb fb fb fb

Kadar jangka pendek ditutup stabil berikutan operasi BNM

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 30 November - Kadar antara bank jangka pendek ditutup stabil hari ini susulan langkah operasi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.

Mudah tunai dalam sistem konvensional berkurangan kepada RM35.18 bilion daripada RM41.51 bilion pagi ini, manakala mudah tunai dana Islam turun kepada RM30.52 bilion daripada RM31.15 bilion.

Terdahulu, BNM telah melaksanakan masing-masing dua tender pasaran wang konvensional, tender repo berbalik dan dua tender qard.

Bank pusat turut mengumumkan ketersediaan repo berbalik, perjanjian jual dan beli semula serta kemudahan murabahah komoditi bercagar bagi tempoh satu bulan dan tiga bulan.

Pada 4 petang, BNM menawarkan tender pasaran wang konvensional RM35.2 bilion dan tender pasaran wang murabahah bernilai RM30.0 bilion, kedua-duanya untuk wang sehari.

Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) berada pada 3.00 peratus pada 29 November 2023. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF