TEMERLOH, 1 November - RM7.96 bilion pembiayaan berjaya disalurkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) kepada 282,489 usahawan dan koperasi di seluruh negara setakat 30 September lepas.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, ia hasil usaha berterusan KUSKOP dalam mengurangkan kekangan birokrasi di samping menperkukuh mekanisme penyaluran pembiayaan kepada usahawan.
"Antara yang dilaksana termasuklah mengurangkan dokumen diperlukan, memendekkan tempoh serta menambah baik proses permohonan dengan memperkenal sistem permohonan dalam talian," katanya kepada media selepas pada Majlis Perhimpunan Bersama Warga dan Agensi KUSKOP, di sini.
Jelas beliau, permohonan pembiayaan kini diluluskan dalam tempoh 16 hari bekerja dari tarikh permohonan, manakala kemudahan pembayaran balik turut dipertingkat melalui platform Sistem Kutipan Mikro Kredit Tanpa Tunai (CMCCS) dan perbankan Internet.
Selain itu menurut beliau, Bank Rakyat telah meningkatkan kecekapan proses kelulusan pembiayaan dengan tempoh maksimum 14 hari bagi pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan enam hari bekerja bagi pembiayaan mikro.
Dalam pada itu katanya, sehingga 30 September lalu, seramai 24,592 usahawan dan koperasi di Pahang telah menerima pembiayaan berbentuk pinjaman dan geran daripada Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN Nasional, SME Bank, Bank Rakyat, Pernas, SME Corp dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) melibatkan dana pembiayaan sebanyak RM425 juta.
Selain itu, 10 koperasi menerima pembiayaan berjumlah RM9.035 juta bawah Tabung Modal Pusingan SKM manakala 18 koperasi diluluskan pembiayaan menerusi bantuan pembangunan koperasi dengan nilai RM545,643.