JOHOR BAHRU, 1 November - Kerajaan Johor menyasarkan tiga juta liter susu dapat dihasilkan tahun depan menerusi Jemaluang Dairy Valley (JDV) yang sekali gus dijangka menyumbang sehingga 20 peratus pengeluaran tenusu dalam negara.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, ini selepas 1,000 ekor lembu dari Victoria, Australia tiba untuk pengoperasian JDV di Mersing yang menandakan permulaan industri tenusu berskala besar di negeri itu.
"Kesemua lembu berkenaan kini bunting, dan dijangka dapat menghasilkan tenusu bermula Januari depan, dengan pengeluaran maksimum pada Mac.
"Untuk tahun pertama, kita sasarkan JDV dapat menghasilkan tiga juta liter susu, lima juta liter pada tahun kedua dan 12 juta liter untuk lima tahun seterusnya," katanya semasa meninjau proses penghantaran Lembu Tenusu JDV di Pelabuhan Johor, di sini.
Tambah beliau, JDV yang merupakan kolaborasi kerajaan negeri, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan swasta itu juga berperanan sebagai pusat pengumpulan hasil tenusu daripada pengusaha tempatan.
"Perbincangan dengan pihak JDV telah dibuat mengenai perkara ini untuk memastikan penternak berskala kecil mempunyai tempat untuk mengumpulkan produk (tenusu) mereka," katanya.
JDV dijangka mengimport lebih banyak lembu pada tahun hadapan, mengikut keperluan dan sasaran pengeluaran susu.
Dalam pada itu, Pegawai Daerah Mersing, Jamil Hasni Abdullah berkata selain penghasilan produk tenusu, JDV juga berpontensi dibangunkan sebagai tarikan pelancongan, khususnya menjelang Tahun Melawat Johor 2026.
"Lokasi ini sebenarnya sudah tular dan menjadi tumpuan untuk bergambar kerana lokasinya yang memang cantik," jelasnya.