fb fb fb fb fb

Kadar antara bank jangka pendek ditutup stabil disokong operasi BNM

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 5 Februari- Kadar antara bank jangka pendek ditutup stabil pada Isnin susulan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.

Berikutan itu, mudah tunai dalam sistem konvensional berkurangan kepada RM35.12 bilion daripada RM40.33 bilion pada pagi ini manakala dalam dana Islam turun kepada RM27.12 bilion daripada RM29.97 bilion.

Pada awal hari ini, bank pusat itu menawarkan dua tender pasaran wang konvensional, dua tender Qard, satu tender Bil Antara Bank Bank Negara (BNIB) dan dua tender repo berbalik.

BNM juga mengumumkan ketersediaan repo berbalik, perjanjian beli semula serta kemudahan Murabahah Komoditi Bercagar untuk tempoh satu dan tiga bulan.

Pada 4 petang, bank pusat itu melaksanakan tender pasaran wang konvensional RM35.10 bilion dan tender pasaran wang Murabahah bernilai RM27.10 bilion, kedua-duanya bagi wang sehari.

Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) berada pada 3.00 peratus pada 2 Feb, 2024. - BERNAMA

ZEHRA BINTI ZAMBRI