fb fb fb fb fb

Kadar antara bank jangka pendek ditutup stabil

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 31 Mei- Kadar antara bank jangka pendek ditutup stabil hari ini susulan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.

Mudah tunai dalam sistem konvensional merosot kepada RM28.54 bilion daripada RM31.75 bilion pagi ini manakala mudah tunai dalam dana Islam meningkat kepada RM22.42 bilion daripada RM18.92 bilion sebelum ini.

Terdahulu, bank pusat menjalankan satu tender repo berbalik dan satu tender Bil-Bil Islam Antara Bank Bank Negara (BNIBI).

BNM turut mengumumkan ketersediaan repo berbalik, perjanjian jual dan beli semula serta kemudahan murabahah komoditi bercagar bagi tempoh satu hingga tiga bulan.

Bank pusat menyemak semula tender semalaman murabahah daripada RM18.9 bilion kepada RM22.4 bilion.

Pada 4 petang, bank pusat menawarkan tender pasaran wang konvensional bernilai RM28.50 bilion dan tender pasaran wang murabahah bernilai RM22.40 bilion, kedua-duanya untuk wang empat hari.

Setakat 30 Mei, Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) kekal pada 3.00 peratus. - BERNAMA

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI