fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia rendah pada tengah hari

BURSA MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 31 Mei- Bursa Malaysia kekal rendah pada tengah hari ini dengan tekanan jualan dilihat secara menyeluruh dalam persekitaran prestasi positif dalam kalangan bursa serantau.

Pada pukul 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 1.61 mata kepada 1,602.65 daripada 1,604.26 pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 4.62 mata kepada 1,608.88 dan turun naik antara 1,601.01 dan 1,612.31 sepanjang sesi dagangan pagi.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 790 berbanding 299 dengan 380 kaunter tidak berubah, 913 tidak diniagakan dan 46 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 3.15 bilion unit bernilai RM2.16 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, FBM KLCI merosot kepada hanya di bawah paras 1,605 dengan sentimen pasaran berhati-hati sejajar dengan prestasi serantau yang lemah.

“Penting bahawa indeks tidak merosot di bawah paras psikologi pada 1,600. Kami menjangka akan terdapat sokongan belian walaupun dicatatkan rendah berikutan hujung minggu yang panjang.

“Oleh itu, kami menjangka indeks akan berada antara 1,600-1,610 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Tenaga Nasional merosot 16 sen kepada RM13.02, CIMB susut satu sen kepada RM6.83. Maybank dan IHH Healthcare, masing-masing meningkat empat sen kepada RM9.94 dan RM6.23 manakala Public Bank menambah satu sen kepada RM4.09.

Daripada saham aktif, Datasonic merosot 2.5 sen kepada 49 sen, Velesto berkurangan satu sen kepada 26.5 sen dan Eco World susut 4.5 sen kepada 37 sen.

MYEG naik lima sen kepada RM1.11 dan JCY menambah satu sen kepada 53.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 45.87 mata kepada 12,190.84, Indeks FBMT 100 berkurangan 38.22 mata kepada 11,797.30 dan Indeks FBM Emas Shariah susut 54.77 mata kepada 12,425.84.

Indeks FBM ACE jatuh 59.11 mata kepada 5,390.81 dan Indeks FBM 70 merosot 163.62 mata kepada 17,456.27.

Mengikut sektor, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 1.71 mata kepada 193.67 dan Indeks Perladangan susut 27.15 mata kepada 7,122.48 dan Indeks Tenaga merosot 16.45 mata kepada 970.54.

Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 21.35 mata kepada 17,515.56.

Bursa Malaysia dan anak syarikatnya akan ditutup pada 3 Jun 2024, bersempena ulang tahun keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Ia akan kembali beroperasi pada 4 Jun 2024. -BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA