fb fb fb fb fb

Kadar antara bank jangka pendek ditutup stabil

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 6 September - Kadar antara bank jangka pendek ditutup stabil pada Jumaat susulan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.

Mudah tunai dalam sistem konvensional naik kepada RM26.95 bilion daripada RM26.25 bilion pada sebelah pagi manakala mudah tunai dalam dana Islam meningkat kepada RM24.94 bilion daripada RM23.26 bilion.

Terdahulu, bank pusat menawarkan dua tender repo berbalik dan satu tender repo berbalik semalaman.

BNM juga mengumumkan ketersediaan kemudahan repo berbalik, perjanjian jual dan beli semula serta kemudahan murabahah komoditi bercagar bagi tempoh satu dan tiga bulan.

Bank pusat menyemak semula tender semalaman Murabahah daripada RM23.3 bilion kepada RM24.9 bilion.

Pada pukul 4.00 petang, BNM menawarkan tender pasaran wang konvensional bernilai RM26.90 bilion dan tender pasaran wang Murabahah bernilai RM24.90 bilion, kedua-duanya bagi tempoh matang tiga hari.

Setakat 5 September, 2024, Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) berada pada 3.00 peratus.- BERNAMA

NAZIRATUL BALQIS BINTI AHMAD HAMIDI