fb fb fb fb fb

Kadar antara bank jangka pendek ditutup kukuh

KUALA LUMPUR, 22 Mac- Kadar antara bank jangka pendek ditutup kukuh hari ini berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.

Mudah tunai dalam sistem konvensional menyusut kepada RM24.61 bilion berbanding RM25.94 bilion pada pagi ini manakala mudah tunai dalam dana Islam meningkat kepada RM17.85 bilion daripada RM17.23 bilion.

Terdahulu hari ini, bank pusat menawarkan dua tender pasaran wang konvensional, dua tender repo berbalik dan satu tender Qard.

BNM menyemak semula tender semalaman Murabahah kepada RM17.9 bilion daripada RM17.0 bilion.

Pada 4 petang, bank pusat menawarkan tender pasaran wang konvensional bernilai RM24.60 bilion dan tender pasaran wang Murabahah bernilai RM17.90 bilion, kedua-duanya bagi wang tiga hari.

Setakat 21 Mac, Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) berada pada 3.00 peratus- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE