fb fb fb fb fb

Jumlah jualan kenderaan bermotor disemak semula kepada 765,000 - MAA

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 16 Julai- Jumlah jualan kenderaan bermotor tahun ini disemak semula kepada 765,000 unit berbanding anggaran terdahulu, 740,000 unit.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Mohd Shamsor Mohd Zain berkata unjuran lebih tinggi itu didorong daya tahan ekonomi domestik serta pengekalan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Selain itu, tunggakan tempahan kenderaan yang kukuh dan pelancaran pelbagai model baharu turut menyumbang kepada semakan semula itu.

Berdasarkan jumlah volum industri (TIV) terkini, kenderaan penumpang dijangka menyumbang sebanyak 696,150 unit manakala 68,850 unit daripada kenderaan komersial.

Sementara itu, MAA akan menganjurkan Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024 edisi ke-10, di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia, Kuala Lumpur.

250,000 pengunjung disasar hadir ke acara yang berlangsung dari 5 hingga 11 Disember.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM