fb fb fb fb fb

JS-SEZ rangsang pertumbuhan syarikat logistik

Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan syarikat logistik tempatan menerusi peningkatan aktiviti rentas sempadan.

Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif HI Mobility Bhd, Lim Chern Chuen berkata inisiatif itu turut mendorong pertumbuhan stabil syarikatnya yang diunjur meningkat sekitar 10 peratus tahun ini.

Syarikat tersebut berhasrat memanfaatkan peluang pertumbuhan dengan sokongan armada kenderaan, depoh dan infrastruktur digitalnya.

"Melalui inisiatif dan insentif kerajaan, kami melihat pertumbuhan perniagaan yang stabil. Beberapa kemajuan turut dicapai seperti penggunaan kod QR bagi mengurangkan kesesakan. Dengan pecutan program yang lebih konkrit, kami menjangka peningkatan perdagangan dan kerjasama rentas sempadan antara kedua-dua negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Prospektus HI Mobility yang bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 28 Mac ini.

Syarikat itu menyasarkan pengumpulan dana RM115.9 juta menerusi tawaran awam permulaan, melibatkan terbitan awam 95 juta saham baharu pada harga RM1.22 sesaham.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN