KUALA LUMPUR, 1 Jun- Agensi sedia ada bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Invest KL Corporation akan menjadi anak syarikat bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), berkuatkuasa hari ini.
Penggabungan itu bertujuan menghapuskan fungsi-fungsi duplikasi, mencegah kekeliruan pelabur dan menambah baik kemudahan pelaburan.
Melalui kenyataan, MITI memaklumkan usaha tersebut mencerminkan pendekatan menyeluruh Kerajaan Madani ke arah penggunaan sumber awam yang ditambah baik dan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih baik.
Kementerian itu akan memastikan peralihan yang lancar, terutamanya dalam memindahkan operasi InvestKL kepada MIDA dan menyelaraskan semua fungsi dengan cekap dalam rangka kerja operasi MIDA.
"Semasa fasa peralihan ini, semua pelabur sedia ada bawah InvestKL akan terus dibantu dan dibimbing sewajarnya.
"MITI akan terus komited untuk meletakkan kawasan Greater Kuala Lumpur sebagai hab perkhidmatan global terkemuka,"menurut kenyataan tersebut.