fb fb fb fb fb

Inovasi digital: MTA, Persatuan Fintech teroka peluang untuk pemain takaful

KUALA LUMPUR, 25 Ogos- Kerjasama antara Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Fintech Malaysia (FOAM) akan mempercepat penggunaan teknologi kewangan dan inovasi digital dalam kalangan peserta industri takaful.

Ketua Pegawai Eksekutif MTA, Mohd Radzuan Mohamed berharap, kolaborasi itu bakal menyediakan penyelesaian kreatif dalam menawarkan produk mampu milik, berdaya maju dan mudah diakses oleh pelanggan.

"Sebagai contoh proses tuntutan apabila terlibat dalam kemalangan, bagaimana proses melaporkan dan membuat tuntutan boleh di permudahkan dan bagaimana teknologi boleh digunakan untuk mengurangkan beberapa kos insurans dan takaful. Jadi ini antara perkara yang kami sedang teliti. Kami tidak hanya menumpukan kepada satu platform malah akan mempelbagaikan platform tersebut," katanya.


(Ketua Pegawai Eksekutif MTA, Mohd Radzuan Mohamed)

Jelasnya, kerjasama itu juga selaras hala tuju dalam Rangka Tindakan Sektor Kewangan 2022-2026 dan Pengantaraan Berasaskan Nilai untuk Takaful (VBIT) dilancarkan Julai lalu.

MTA ketika ini mempunyai 18 ahli, merangkumi 11 pengendali takaful keluarga, empat pengendali takaful am dan tiga daripada segmen insurans semula.

Sementara itu, Presiden FOAM, Wilson Beh berkata sebagai platform untuk semua syarikat fintech, ia akan membantu memperkasakan potensi perniagaan yang besar untuk takaful bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau ini.

"Kami mendapati lebih banyak pemain fintech kini memanfaatkan model perniagaan yang Islamik.

"Sebagai contoh, dua daripada lima bank digital adalah bank digital Islamik, dan kami menjangkakan perkara yang sama dalam takaful, kerana model dan konsep itu mampu memberi perkhidmatan yang berkesan kepada segmen yang kurang mendapat perkhidmatan tersebut, iaitu perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta populasi yang kurang diinsuranskan di Malaysia," kata Beh.


(Presiden FOAM, Wilson Beh)

Sehingga 2021, sebanyak 11 daripada 223 syarikat fintech Malaysia mengamalkan fintech Islamik dan 22 lagi dalam segmen Insurtech.

Media Baharu