KUALA LUMPUR, 25 Ogos- Pasaran getah Malaysia meneruskan aliran menurunnya hari ini walaupun pasaran hadapan getah serantau mempamerkan petunjuk bercampur-campur selain nilai ringgit yang lebih lemah berbanding dolar AS.
Seorang peniaga berkata niaga hadapan getah Jepun meningkat sedikit berikutan unjuran pengeluaran kilang domestik yang lebih kukuh.
Namun begitu, kerugian dialami oleh pasaran Shanghai dan pengukuhan nilai yen Jepun menjejaskan sentimen pasaran manakala pengeluaran getah daripada negara pengeksport utama Thailand mungkin terjejas oleh hujan lebat terpencil yang berterusan serta amaran banjir di seluruh negara.
(Foto hiasan)
Walau bagaimanapun, kerugian dalam pasaran getah tempatan berjaya disekat oleh peningkatan harga minyak dan usaha China untuk menyokong industri kenderaan tenaga baharu dan ekonominya.
Sementara itu, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (MRB) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) turun 9.0 sen kepada 640 sen sekilogram (sekg) manakala lateks pukal susut 4.5 sen kepada 497.50 sen sekg.
Pada jam 5 petang, harga penutup LGM untuk SMR 20 berada pada 643.50 sen sekg manakala lateks pukal pada 496.50 sen sekilogram.- BERNAMA