KUALA LUMPUR, 25 Ogos- Bursa Malaysia dibuka 0.43 peratus lebih tinggi pagi ini, dipacu oleh minat belian sederhana, kata seorang peniaga.
Pada 9.15 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.40 mata kepada 1,473.66 daripada 1,467.26 pada penutup urus niaga Rabu.
Indeks utama itu mengukuh 3.11 mata untuk mencapai paras 1,470.37 ketika memulakan urus niaga pagi ini.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 237 berbanding 104, manakala 233 kaunter tidak berubah, 1,758 tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.
Jumlah dagangan adalah sebanyak 236.73 juta unit bernilai RM90.93 juta.
(Foto fail)
Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng, pelabur turut memantau pergerakan semalaman Wall Street yang ditutup tinggi sedikit dengan para pelabur menjangkakan ucapan pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) di Jackson Hole Jumaat ini akan terus menyebabkan gelombang yang tidak menentu.
"Spekulasi pasaran mengenai ucapan esok juga telah meningkatkan sentimen," katanya kepada Bernama.
Thong berkata walaupun indeks FBM KLCI telah merosot 50 mata sejak lima hari lalu, kegiatan memburu saham berharga murah masih tidak kelihatan kerana sentimen telah berubah menjadi berhati-hati.
“Justeru, kami beranggapan indeks akan bergerak dalam julat 1,460 hingga 1,475 hari ini dan mungkin ada sedikit minat dalam saham tenaga memandangkan minyak mentah Brent kini berlegar melepasi paras US$101 setong. Kami turut mengunjurkan pemulihan untuk saham perladangan," katanya.
Sementara itu, saham wajaran tinggi Maybank naik empat sen kepada RM8.85, Public Bank dan Press Metal menokok satu sen setiap satu kepada RM4.63 dan RM4.66, manakala Petronas Chemicals turun tiga sen menjadi RM8.47.
Bagi saham aktif, Hibiscus Petroleum menambah tiga sen kepada 99 sen dan saham TWL Holdings tidak berubah pada lima sen sementara Serba Dinamik dan warannya juga tidak berubah, masing-masing pada 4.5 sen dan 1.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 47.58 mata kepada 10,497.93, Indeks FBMT 100 meraih 45.88 mata menjadi 10,236.21, FBM 70 memperoleh 62.51 mata kepada 12,663.51, Indeks FBM ACE mengembang 21.36 mata kepada 4,896.33 dan Indeks FBM Emas Syariah melonjak 55.05 mata kepada 10,558.87.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 46.60 mata kepada 16,597.55, Indeks Tenaga meningkat 10.75 mata menjadi 717.94, manakala Indeks Perladangan 29.96 mata lebih baik pada 6,890.79 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.24 mata kepada 180.13.- BERNAMA