fb fb fb fb fb

IMFC dibangunkan sebagai pusat sehenti hal berkaitan pelaburan di MIDA

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 20 November- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mewujudkan pusat memudah cara pelaburan Malaysia atau Invest Malaysia Facilitation Centre (IMFC) yang bersifat sebagai pusat sehenti bagi hal-hal berkaitan pelaburan di ibu pejabat Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata IMFC bertujuan memudah cara urusan komuniti perniagaan dan para pelabur dalam sektor perkilangan dan sektor perkhidmatan yang terpilih.

Jelasnya,penubuhan secara fizikal adalah untuk mempercepat pelbagai proses kelulusan termasuk memberi khidmat rundingan serta nasihat sekali gus mengurangkan kerenah birokrasi dalam penyampaian perkhidmatan awam.

“Inisiatif ini merupakan penambahbaikan kepada pusat khidmat nasihat sedia ada di MIDA dan selaras dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam keputusan Majlis Jemaah Menteri pada 3 November dan aspirasi Ekonomi MADANI untuk memudah cara perniagaan khususnya 'investor’s journey' di pelbagai peringkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata IMFC juga bertujuan mengumpulkan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan serta pelbagai kemudahan di bawah satu bumbung dan usaha itu adalah langkah penting dalam mendukung hasrat Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

Tengku Zafrul berkata inisiatif itu mampu menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan mesra pelabur dan mesra perniagaan yang terunggul di rantau ini berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional.

Beliau berkata berdasarkan keadaan semasa, perkhidmatan rundingan serta memudah cara yang dilaksanakan secara fizikal dan bersemuka akan memberi impak positif selain meningkatkan keyakinan pelabur dan peserta industri.

“MITI dan MIDA mengambil langkah proaktif untuk melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan yang berterusan bagi menyediakan perkhidmatan yang efektif dan efisien kepada para pelabur dan komuniti perniagaan dalam sektor perkilangan dan sektor perkhidmatan terpilih di Malaysia.

“MITI juga komited untuk menambah baik kemudahan sedia ada di bawah MIDA dalam usaha untuk memudah cara pelaburan," katanya. 

ZEHRA BINTI ZAMBRI