KUALA LUMPUR, 24 Januari- Bank Rakyat sasar raih pelaburan keseluruhan berjumlah RM700 juta bagi Akaun Pelaburan-i Rizq Plus untuk tahun ini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Shahril Mohd Shariff yakin dengan potensi produk berkenaan, berdasarkan sambutan menggalakkan sejak diperkenal dua tahun lalu.
Produk itu antara usaha berterusan dalam menyediakan produk patuh Syariah yang inovatif dan bermanfaat, selain memupuk tabiat melabur dan menyimpan dalam kalangan masyarakat.
"Produk ini boleh pergi lebih jauh daripada yang disasarkan sebelumnya. Kita jangka dalam masa dua tahun lagi, kita akan mencapai penanda aras dari segi nilai i Rizq Plus ini," kata Ahmad Shahril kepada pemberita, hari ini.
Jelasnya, sehingga kini, akaun berkenaan mempunyai lebih 90,000 penyimpan.
Beliau ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah Utama Akaun Pelaburan-i Rizq Plus di ibu negara.
Guru dari Pahang, Hazrul Ikram Pahroraji bergelar jutawan baharu selepas memenangi hadiah utama berjumlah RM1 juta.