fb fb fb fb fb

Hubungan ekonomi ASEAN–Jepun terus kukuh, dagangan cecah AS$236 bilion

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz (tujuh dari kiri) bergambar bersama Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) dan Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn (kanan) pada Konsultasi AEM-METI ke-31 sempena Mesyuarat AEM ke-57 dan mesyuarat berkaitan di MITEC, hari ini / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 September- Hubungan ekonomi antara ASEAN dan Jepun terus menjadi tonggak penting kepada kerjasama serantau, berasaskan lebih lima dekad kepercayaan, kerjasama serta saling menghormati.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Jepun kekal sebagai antara rakan dagang serta pelabur terbesar ASEAN.

“Jepun merupakan antara rakan dialog terawal ASEAN dan sehingga kini, hubungan ekonomi kedua-dua pihak kekal sebagai salah satu tonggak utama hubungan luar ASEAN.

Pada 2024, jumlah dagangan dua hala ASEAN–Jepun mencecah AS$236.4 bilion, manakala pelaburan langsung asing Jepun hampir AS$18 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pembukaan Perundingan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) dengan Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri (METI) Jepun ke-31.

Menurutnya, syarikat Jepun terus menjadikan ASEAN sebagai hab utama rantaian bekalan global.

Pelaburan turut berkembang ke bidang baharu seperti transformasi digital, ekonomi hijau, pembangunan modal insan serta daya tahan rantaian bekalan.

Kerjasama diperkukuh melalui Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif ASEAN–Jepun (AJCEP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

Sempena ulang tahun ke-52 hubungan ASEAN–Jepun, pemimpin ASEAN menegaskan komitmen memperkukuh perkongsian itu bukan sahaja dari segi perdagangan, tetapi juga dalam membina daya tahan menghadapi ketidaktentuan global.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN