KUALA LUMPUR, 24 September - Penilaian bagi Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan (TIFA) 2024-2025 dan Rangka Kerja 'Expanded Economic Engagement' (E3) menjadi asas perbincangan dalam Perundingan AEM - Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR), hari ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, mesyuarat turut meluluskan Pelan Kerja bagi tahun 2025–2026, serta bertukar pandangan mengenai cabaran utama yang membentuk ekonomi dunia ketika ini.
Jelasnya, perbincangan mengenai isu-isu tersebut amat bertepatan dengan landskap global yang sentiasa berubah merangkumi rantaian bekalan, transformasi digital selain usaha ke arah pertumbuhan lebih hijau dan mampan.
"Amerika Syarikat merupakan rakan dialog penting bagi ASEAN, di mana pada tahun 2024, jumlah perdagangan antara ASEAN dan Amerika Syarikat (AS) mencecah AS$453 bilion.
"AS juga merupakan pasaran eksport utama ASEAN di luar rantau ini, dengan eksport ASEAN ke AS melonjak kepada AS$312 bilion, peningkatan hampir 16% berbanding tahun sebelumnya, iaitu tambahan sekitar AS$42 bilion hanya dalam tempoh satu tahun.
''AS juga merupakan sumber pelaburan langsung asing (FDI) terbesar bagi ASEAN pada tahun lalu, dengan aliran masuk melebihi AS$42 bilion, ini bukan saja aliran dana, ia juga membuktikan keyakinan terhadap potensi dan masa depan rantau ini,'' katanya pada ucapan pembukaan Perundingan AEM - USTR, di sini, hari ini.
Mengulas mengenai hasil perbincangan itu, beliau menyifatkan ia sebagai sesi yang konstruktif dan produktif dengan perbincangan lanjut akan diteruskan bersama AS.
Wakil Perdagangan Amerika Syarikat, Jamieson Greer pula berkata Amerika Syarikat (AS) turut mengiktiraf Asean sebagai rakan strategik yang signifikan.
Jelasnya, platform perbincangan ini turut menyediakan peluang besar untuk AS menyelaraskan kepentingannya selain mengharapkan aliran perdagangan yang lebih seimbang antara AS dan Asean.
"Kami percaya bahawa terdapat banyak bidang di mana kepentingan kita selari dan kita boleh bekerjasama untuk mencapai matlamat bersama dalam membawa keseimbangan kepada sistem perdagangan global. Kami juga mengiktiraf kenyataan positif ASEAN pada bulan April untuk mendekati inisiatif Amerika Syarikat berdasarkan kerangka persefahaman dan perbincangan, dan ini telah terbukti.
"Di bawah kepimpinan Presiden Donald Trump, kami berupaya mengadakan perbincangan dengan baik mengenai usaha untuk meningkatkan akses ke pasaran terlibat, menghapuskan halangan bukan tarif, menangani amalan perdagangan yang tidak adil, serta mengukuhkan kerjasama dalam bidang ekonomi dan keselamatan negara," katanya.