TOKYO, 11 November – Honda Motor Co. berdepan tekanan berikutan penyusutan unjuran keuntungan tahunan sebanyak satu perlima, susulan kesan tarif Amerika Syarikat (AS), kekurangan cip global dan peningkatan kos kenderaan elektrik (EV).
Menurut laporan syarikat, kekurangan komponen yang menggunakan cip daripada syarikat Belanda, Nexperia, serta kos pembangunan EV menjadi punca utama penurunan unjuran tersebut.
Belanda sebelum ini mengambil alih Nexperia, yang dimiliki oleh Wingtech dari China, pada 30 September lalu.
Honda turut menganggarkan kerugian sebanyak 385 bilion yen (AS$2.6 bilion) akibat tarif AS, lebih rendah daripada 450 bilion yen yang dijangka sebelum ini. Susulan pengumuman itu, saham syarikat merosot 4.7% pada Isnin.
Naib Presiden Eksekutif Honda, Noriya Kaihara berkata syarikat kini berdepan persaingan sengit di pasaran Asia Tenggara, khususnya di Thailand, yang menjejaskan kelebihan harga dan bahagian pasaran.
“Landskap persaingan sangat sengit dan kami telah kehilangan kelebihan daya saing dari segi harga,” katanya.
Beliau menambah, pengeluar kenderaan Jepun kini meningkatkan insentif serta menurunkan harga bagi menarik pembeli, namun langkah itu menyebabkan margin keuntungan semakin mengecil. -REUTERS