fb fb fb fb fb

Graduan asing beri manfaat kepada industri tempatan - MEF

Gambar hiasan

PETALING JAYA, 5 Februari - Cadangan membenarkan graduan asing tempatan bekerja sementara di negara ini akan meningkatkan jumlah pekerja mahir dalam bidang teknologi tinggi.

Pengarah Eksekutif Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan berkata, langkah itu akan memberi manfaat kepada industri tempatan, khususnya bidang pertumbuhan utama ekonomi negara.

"Ini bukan isu pelajar asing akan ambil pekerjaan pekerja tempatan tetapi kita kekurangan bakat.

"Untuk membina bakat, kita perlukan 4 hingga 5 tahun pengalaman sebelum pelajar bersedia untuk bekerja.

"Jadi sementara menunggu, apa salahnya kita ambil graduan warga asing dahulu," soalnya ketika dihubungi RTM.

Beliau menambah, tidak timbul isu pekerja tempatan tidak mendapat pekerjaan sekiranya graduan asing diberi peluang, memandangkan keberadaan graduan asing bukanlah untuk jawatan tetap.

Sebaliknya, ia bersifat sementara dan selepas tempoh tertentu, peluang pekerjaan harus diberikan kepada graduan tempatan.

Baru-baru ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mencadangkan agar graduan asing institut pengajian tinggi (IPT) tempatan dibenarkan bekerja sementara di negara ini.

Kebenaran itu diberi dalam bidang tertentu seperti sektor teknologi tinggi sekali gus, merancakkan sektor pendidikan Malaysia sebagai penjana pendapatan negara.

GRACE AISYAH KEDAYAN