fb fb fb fb fb

Kesilapan teknikal NYSE tidak jejas pasaran saham negara - Penganalisis

NEW YORK STOCK EXCHANGE (NYSE)

KUALA LUMPUR, 4 Jun- Kesilapan teknikal membabitkan New York Stock Exchange (NYSE) pada Isnin tidak menjejaskan prestasi pasaran saham Malaysia dan serantau, kata penganalisis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berpendapat insiden tersebut berpotensi meningkatkan aliran dana asing ke pasaran tempatan.

"Asas saham serantau masih baik dan penilaiannya masih sangat murah. Kami percaya pengaliran keluar dana daripada Amerika Syarikat mungkin mengalihkan beberapa dana ke rantau Asia Pasifik, di mana Malaysia akan mendapat manfaat daripada kesan limpahan," katanya ketika dihubungi RTM hari ini.

Tambahnya, minat terhadap saham tempatan semakin tinggi berdasarkan volum dagangan harian. Justeru, Rakuten Trade menjangkakan trend berterusan itu akan memberi impak positif kepada pasaran ekuiti negara.

Semalam, NYSE mengalami gangguan teknikal yang mencetuskan ketidaktentuan pasaran sahamnya dan menyebabkan berpuluh dagangan saham dihentikan.

Bagaimanapun, saham terjejas kembali dibuka dan dagangan diteruskan semula selepas isu berkenaan berjaya ditangani.

SITI AISHAH MD ISA