fb fb fb fb fb

EV jenama tempatan mampu dihasilkan pada 2025 - Tengku Zafrul

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 21 November - Kerajaan optimis Malaysia mampu mengeluarkan kenderaan elektrik (EV) nasional pertamanya pada 2025.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata pihaknya yakin dengan usaha syarikat pengeluar kenderaan tempatan, yang banyak melakukan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam teknologi automotif, sekali gus mempercepat proses pengeluaran EV.

"Kalau dengar daripada taklimat yang diberikan oleh syarikat-syarikat kereta, Insya-Allah kita dapat capai matlamat yang kita sasarkan pada tahun 2025.

"Dari segi teknologinya, mereka sudah mula penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan juga pelaburan dalam EV untuk keluaran tempatan itu sudah ada dan mereka sentiasa kemas kini rancangan tersebut," katanya kepada pemberita selepas melancarkan EV Generasi Baharu Smart #1, di sini.

Tambah Tengku Zafrul, beliau yakin Malaysia dapat mengeluarkan kenderaan EV mampu milik, seiring saranan kerajaan agar syarikat pengeluar EV membuat pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia.

Sementara itu, Tengku Zafrul turut memaklumkan kerajaan akan mengumumkan mekanisme untuk memohon Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik pada 8 Disember ini.

"Kita akan memberi pencerahan bagaimana pembeli-pembeli motosikal EV yang layak, bagaimana mereka boleh memohon untuk mendapat bantuan tunai ini daripada kerajaan," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN