fb fb fb fb fb

ERL perkenal 'Trek App', tawar pengalaman perjalanan lebih lancar

Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) menyediakan kemudahan 'Trek App' untuk penumpang merancang perjalanan dan memudahkan urusan pembelian tiket KLIA ekspres dan KLIA transit / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 1 Mac - Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) menyediakan kemudahan 'Trek App' untuk penumpang merancang perjalanan dan memudahkan urusan pembelian tiket KLIA ekspres dan KLIA transit.

Usaha itu dilaksanakan dengan kerjasama Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti).

Dalam satu kenyataan bersama, dua syarikat itu berkata melalui kerjasama itu, pengguna Trek App yang telah dapat menempah perkhidmatan Demand-Responsive Transit (DRT) juga boleh mengakses perkhidmatan kereta api, pemanduan ke tapak parkir, perkhidmatan rel lapangan terbang ERL dan petunjuk arah untuk penjalan kaki melalui aplikasi itu.

“Penumpang ERL boleh merancang perjalanan mereka ke KLIA dan membeli tiket KLIA Ekspres atau KLIA Transit menerusi Trek App dengan kaedah pembayaran tanpa tunai (e-Dompet, debit dan kad kredit).

"Tiket yang dibeli dihantar melalui Trek App dengan kod QR, membolehkan penumpang menaiki kereta api mereka dengan pengimbasan kod QR di pintu masuk ke tren," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd Noor berkata ia menjadi komitmen ERL untuk sentiasa meneroka teknologi inovatif yang akan memberi manfaat dan menyediakan perkhidmatan nilai tambah kepada penumpang.

ERL dan Asia Mobiliti berkata pengguna boleh mendapat lebih banyak perkhidmatan pengangkutan dan mod pengangkutan baharu akan disertakan dalam rangkaian seperti mobiliti mikro, perkhidmatan e-hailing dan bas antara bandar.

Trek App boleh dimuat turun di Google Play dan Apple App.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN