fb fb fb fb fb

Eksport Malaysia naik 0.3% pada Januari, lebihan dagangan cecah RM3.63 bilion

Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 20 Februari – Eksport Malaysia mencatat pertumbuhan kukuh pada Januari 2025, meningkat 0.3% kepada RM122.79 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan memaklumkan prestasi eksport yang positif untuk empat bulan berturut-turut itu disokong oleh pertumbuhan sektor utama, khususnya perkilangan dan pertanian.

Sementara itu, import turut meningkat 6.2 peratus kepada RM119.16 bilion, menjadikan jumlah perdagangan negara bagi Januari 2025 bertambah 3.1 peratus kepada RM241.95 bilion.

Lebihan dagangan yang direkodkan berjumlah RM3.63 bilion, menandakan lebihan dagangan ke-57 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

Dari segi pasaran, eksport ke Amerika Syarikat dan Taiwan mencatat pertumbuhan dua digit, didorong peningkatan permintaan terhadap barangan elektrik dan elektronik (E&E), terutamanya peranti semikonduktor dan litar bersepadu elektronik.

MITI serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan terus komited dalam memacu pertumbuhan eksport negara.

Antara langkah yang diambil termasuk memperkukuh hubungan dengan rakan dagang utama, meneroka pasaran baharu, dan menyediakan sokongan kepada pengeksport Malaysia.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN