KUALA LUMPUR 5 Januari - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), memuji langkah kerajaan melanjutkan tempoh peralihan pelaksanaan e-invois selama satu tahun bagi syarikat dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta.
Lanjutan tempoh itu menunjukkan perhatian serius kerajaan terhadap cabaran yang dihadapi peniaga kecil yang masih memerlukan masa untuk menyesuaikan operasi mereka dengan sistem tersebut.
Presiden DPMM, Norsyahrin Hamidon berkata, keputusan kerajaan itu tepat pada masanya, kerana memberi ruang kepada usahawan kecil membuat persediaan sebelum sistem tersebut dilaksanakan sepenuhnya.
“Pengumuman ini menunjukkan Perdana Menteri dan kerajaan memahami realiti yang dihadapi usahawan kecil, khususnya dalam tempoh peralihan ke sistem e-invois,” katanya.
Menurut beliau, tempoh tambahan tersebut membolehkan peniaga membuat pelbagai persediaan, termasuk dari aspek kewangan, latihan tenaga kerja dan pemilihan perisian yang sesuai sebelum pelaksanaan sepenuhnya.
DPMM dalam pada itu menyokong penuh pelaksanaan e-invois kerana ia berpotensi membanteras ekonomi gelap yang menyebabkan kerajaan kehilangan hampir RM300 bilion hasil sebelum ini.
“Dengan e-invois, aktiviti ekonomi gelap ini dapat dibendung dan seterusnya meningkatkan kutipan hasil negara,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau berkata peningkatan kutipan hasil melalui sistem e-invois membolehkan kerajaan meneruskan dasar subsidi bersasar, sekali gus membantu rakyat menampung kos perniagaan dan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Beliau turut memaklumkan ahli-ahli DPMM kini sedang giat membuat persediaan ke arah pelaksanaan e-invois, termasuk membeli perisian berkaitan dan menghantar pekerja mengikuti latihan.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan ini dan DPMM sangat menyambut baik langkah yang diumumkan,” katanya.