fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia mengukuh, aliran masuk institusi tempatan RM924.1 juta

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 5 Januari- Institusi tempatan kekal menyokong Bursa Malaysia untuk minggu ketujuh berturut-turut, dengan aliran masuk bersih berjumlah RM924.1 juta, bagi minggu berakhir 2 Januari 2025.

MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB) berkata sebaliknya pelabur runcit tempatan merekodkan jualan bersih untuk minggu kelima berturut-turut melibatkan aliran keluar bersih sebanyak RM20.0 juta.

Trend sama turut dicatatkan oleh pelabur asing yang meneruskan jualan bersih ekuiti bagi minggu keempat berturut-turut, dengan aliran keluar sebanyak RM904.0 juta, meningkat 65 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Pelabur asing merupakan penjual bersih pada setiap hari dagangan, dengan aliran keluar terbesar direkodkan pada Rabu, sebanyak RM270.0 juta, diikuti Selasa (RM261.7 juta), Jumaat (RM232.4 juta) dan Isnin (RM140.0 juta).

“Tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran masuk bersih asing ialah Telekomunikasi & Media (RM16.6 juta), Produk & Perkhidmatan Perindustrian (RM14.8 juta) dan Teknologi (RM8.1 juta).

“Sementara itu, tiga sektor teratas yang mencatatkan aliran keluar bersih asing ialah Perkhidmatan Kewangan (RM482.8 juta), Utiliti (RM258.2 juta) dan Perladangan (RM75.9 juta),” menurut Laporan Aliran Dana MBSB IB.

Di peringkat serantau, pelabur asing muncul sebagai penjual bersih ekuiti Asia dengan melupuskan AS$1.05 bilion merentasi lapan pasaran yang dipantau oleh MBSB IB.

Firma itu berkata sebahagian besar aliran keluar direkodkan dari India, Korea Selatan, Malaysia dan Thailand manakala empat pasaran lain mencatatkan aliran masuk bersih.

'Penjualan tersebut mencerminkan aktiviti pengambilan untung serta kebimbangan terhadap penunjuk ekonomi serantau, apabila ketidaktentuan pasaran global menekan sentimen pelaburan.

''Aliran masuk bersih asing terbesar dicatatkan oleh Taiwan sebanyak AS$1.04 bilion, menandakan minggu kedua berturut-turut aliran masuk."

''Pelabur asing sebaliknya beralih menjadi penjual bersih di Korea Selatan, dengan aliran keluar sebanyak AS$316.6 juta,'' katanya.

Sementara itu, India merekodkan aliran keluar bersih asing terbesar minggu lalu iaitu AS$1.72 bilion.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM