fb fb fb fb fb

Pasaran petrokimia masih dalam situasi lebihan bekalan berstruktur

Harga petrokimia berpotensi memasuki kitaran kenaikan jangka pendek bagi tahun 2026.-Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 5 Januari - Harga petrokimia berpotensi memasuki kitaran kenaikan jangka pendek bagi tahun 2026, walaupun dalam persekitaran makroekonomi jangka pendek yang perlahan, menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).

Bank pelaburan itu berkata, secara keseluruhan, pasaran petrokimia masih berada dalam situasi lebihan bekalan berstruktur yang berpotensi berlanjutan sehingga 2028.

Bagaimanapun, firma itu percaya faktor itu telah diambil kira dalam harga petrokimia semasa.

“Kami yakin terdapat kemungkinan tahun ini menjadi tempoh kemuncak bagi kerja baik pulih kapasiti loji berbanding 2023–2024, memandangkan beberapa kluster loji utama dijadualkan menjalani kerja baik pulih berskala besar,” katanya dalam satu nota hari ini.

''Faktor-faktor ini berpotensi menyebabkan kekangan bekalan petrokimia jangka pendek pada 2026, dengan China kekal sebagai pasaran utama yang perlu dipantau, memandangkan negara itu mempunyai kapasiti terbesar di dunia '' katanya.

Sementara itu, perkembangan di Venezuela berpotensi mengetatkan bekalan minyak global dalam jangka terdekat.

''Namun pengeluaran semasa Venezuela sebanyak 0.8 hingga 0.9 juta tong sehari, walaupun dihentikan sepenuhnya yang merupakan senario tidak mungkin berlaku, boleh diimbangi oleh peningkatan pengeluaran OPEC+, sekiranya kumpulan itu bertindak balas,” katanya.

Di peringkat domestik, subsektor huluan tempatan dilihat telah mencapai paras terendah dari segi penilaian, dengan nisbah harga kepada nilai buku (PBV) berada pada paras terendah dalam tempoh dua tahun.

Bagi segmen hiliran, Kenanga IB berkata harga produk dijangka kekal lemah dalam jangka terdekat susulan lebihan bekalan global yang berterusan.

Berdasarkan pelbagai faktor berkenaan, bank pelaburan itu mengekalkan pendirian ‘neutral’ terhadap sektor berkenaan, dengan sasaran harga minyak mentah Brent tidak berubah dan kekal lebih tinggi daripada konsensus pada AS$67 setong.

 

 

 

ASHRIQ FAHMY AHMAD