fb fb fb fb fb

Dividen Tabung Haji dijangka umum April ini - Mohd Na'im

Dr. Mohd Na’im Mokhtar

KUALA LUMPUR, 9 Februari- Pengumuman dan agihan dividen Tabung Haji (TH) bagi tahun kewangan 2023 dijangka pada April ini iaitu setelah audit penuh dijalankan. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, langkah tersebut berikutan teguran oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sebelum ini agar memastikan audit penuh dijalankan terlebih dahulu sebelum penentuan agihan kadar dividen. 

"Sekarang adalah masa pengauditan dijalankan. Insya-Allah pada April nanti kita akan umumkan berapa dividen.

"Ketika ini, kita nak mengimbangi antara dividen yang tinggi, sebab ia tabung yang sama, kalau kita berikan dividen tinggi, ia akan mengurangkan bantuan kewangan kepada jemaah haji yang B40 dan juga M40.

"Saya harap (pengurusan tertinggi) kita dapat memikirkan dan mencari jalan terbaik, bagaimana nak pastikan dividen munasabah diberikan kepada pendeposit dan dalam masa sama tanpa menjejaskan bantuan haji yang akan diberikan kepada pendeposit-pendeposit yang berada dibawah kategori B40 dan M40," katanya di sini.

Pada tahun kewangan 2022, TH mengumumkan agihan keuntungan pada kadar 3.10 peratus setelah mengambil kira zakat 2.57 peratus melibatkan jumlah agihan RM2.65 bilion kepada lebih 8.7 juta pendeposit.

Mohd Na’im ditemui pemberita selepas menyantuni Mohamad Salman yang merupakan seorang asnaf, juga dikenali sebagai ‘Frogman’ oleh warganet kerana mengenakan maskot katak sebagai sumber utama pendapatan menyara keluarga.

Beliau turut menyampaikan sumbangan bakul rezeki dan wang tunai sebanyak RM1,000 kepada Mohamad Salman dan keluarganya.

0902 MENTERI AGAMA DIVIDEN TH

Dr. Mohd Na’im Mokhtar (depan) ketika melakukan lawatan ke rumah keluarga 'Frogman' di ibu negara semalam

SITI AISHAH BINTI MD ISA