fb fb fb fb fb

Dividen KWSP, 5.50% Simpanan Konvensional, 5.40% Simpanan Shariah

Pengkreditan dividen untuk Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah selesai pada hari ini.

KUALA LUMPUR, 3 Mac- Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan agihan dividen untuk tahun kewangan 2023 sebanyak 5.50% bagi Simpanan Konvensional selain 5.40% untuk Simpanan Shariah.

Menurut KWSP, ia merupakan jumlah agihan tertinggi sebanyak RM57.81 bilion secara kumulatif bagi kedua-dua simpanan itu, sekali gus memanfaatkan 16 juta pencarum.

"Untuk tahun berakhir 31 Disember 2023, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM66.99 bilion, meningkat 2% berbanding RM51.91 bilion pada 2022.

"Aset pelaburan dana persaraan itu mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak RM1.1 trilion, naik 13% berbanding RM1 trilion pada tahun sebelumnya.

"Peningkatan ini merangkumi pendapatan yang dijana daripada portfolio dan jumlah caruman diterima pada 2023 berjumlah RM97.56 bilion, naik 15% berbanding RM84.78 bilion pada 2022.

"Kelas aset Ekuiti menyumbang RM39.05 bilion mewakili 58% daripada jumlah pendapatan pelaburan KWSP.

"Ini diikuti Instrumen Pendapatan Tetap, sebahagian besarnya daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia, yang menyumbang RM19.74 bilion atau 30% daripada jumlah pendapatan pelaburan," menurut kenyataan itu.

Tambah KWSP, sehingga Disember 2023, pendaftaran ahli baharu KWSP meningkat kepada 460,447 menjadikan jumlah ahli KWSP seramai 16.07 juta.

Pengkreditan dividen untuk Simpanan Konvensional dan Simpanan Shariah selesai pada hari ini.

Ahli boleh menyemak akaun mereka melalui i-Akaun atau mendapatkan penyata daripada Terminal Layan Diri (SST) KWSP di seluruh negara.

Sementara itu, bagi Ketua Pakar Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid, kala dividen itu selari dengan indikator ekonomi semasa.

Menurutnya, dividen tersebut disifatkan munasabah melebihi kadar inflasi semasa pada 1.5 peratus.

"Saya rasa dividen itu sangat adil. Prestasi pendapatan kasar melebihi 20% dan dividen dibayar lebih tinggi daripada kadar inflasi, jadi kadar dividen adalah munasabah," katanya kepada pemberita di Shah Alam.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM