KUALA LUMPUR, 2 Mac - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) berharap kerajaan mempertimbangkan pengecualian kepada perusahaan kecil dan mikro daripada audit wajib.
Presidennya, Datuk William Ng berkata jika ianya dilaksanakan, dianggarkan 77.4 peratus perniagaan tidak perlu lagi mengadakan audit mandatori yang menelan kos tinggi selain mengambil masa.
"Ketika ini pengecualian audit dibenarkan bagi syarikat berpendapatan bawah RM100,000 dengan nilai aset bawah RM300,000. Selain, mempunyai pekerja kurang daripada lima orang, kriteria tersebut disifatkan tidak menepati realiti ekonomi semasa," katanya menerusi kenyataan.
SAMENTA turut menyambut baik cadangan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menaikkan nilai ambang kriteria pengecualian audit.
Ini melibatkan pendapatan dan nilai aset RM3 juta selain 30 orang pekerja dan ke atas.