fb fb fb fb fb

Dagangan pasaran getah dijangka dalam julat kecil minggu depan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 16 Mac- Pasaran getah Malaysia dijangka diniagakan dalam julat lebih kecil dan cenderung rendah minggu depan berikutan pembetulan teknikal di pasaran serta keadaan yang tidak menentu.

Mantan Presiden Persatuan Pengilang Sarung Tangan Malaysia, Denis Low berkata, harga Getah Mutu Malaysia (SMR 20) dan susu getah pukal terus meningkat, manakala purata harga bulanan mencatat kenaikan sejak lebih tiga bulan lamanya.

“Apabila harga getah terus meningkat bagi tempoh lama, ia lebih terdedah kepada pembetulan teknikal di pasaran serta menjadi tidak menentu,” katanya kepada Bernama.

Low juga menyifatkan fenomena perubahan iklim boleh menjejaskan pertumbuhan pokok getah muda yang sekali gus mengurangkan pembentukan susu getah dan menghalang aktiviti menoreh.

"Satu lagi faktor penyumbang kepada pengeluaran lebih rendah adalah permulaan Ramadan yang turut menjejaskan aktiviti menoreh.

"Oleh itu, kita akan melihat aktiviti stok yang semakin meningkat menjelang kekurangan itu dan harga mungkin akan meningkat lebih tinggi lagi," katanya.

Beliau berkata, keadaan cuaca yang tidak menentu itu dipercayai boleh menyebabkan turun naik yang lebih besar kepada pasaran dan harga.

Bagi asas mingguan, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 melonjak 26.5 sen kepada 773.0 sen sekilogram pada Jumaat berbanding 746.5 sen pada minggu sebelumnya, manakala susu getah pukal menokok 22.5 sen kepada 743.5 sen daripada 721.0 sen sebelumnya.

Pada pukul 5.00 petang, harga rujukan LGM bagi getah fizikal SMR 20 berada pada 784.0 sen sekilogram, manakala susu getah pukal pada 745.5 sen sekilogram. -BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA