fb fb fb fb fb

Cukai 8% ke atas perkhidmatan kewangan berkaitan berkuat kuasa 1 Julai - ABM

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 26 Jun- Anggota Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) akan mula melaksanakan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan kewangan yang berkaitan secara berperingkat mulai 1 Julai ini.

Langkah itu susulan pewartaan perundangan cukai perkhidmatan berikutan pengembangan skop cukai perkhidmatan.

Menurut ABM, Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (MIBA), pelaksanaan inisiatif itu akan dibuat berdasarkan undang-undang serta garis panduan rasmi yang telah diwartakan atau dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

"Cukai perkhidmatan akan dikenakan pada kadar lapan peratus ke atas perkhidmatan kewangan berasaskan yuran dan komisen.

Kami memberi jaminan kepada pelanggan bahawa beberapa pengecualian telah diberikan, contohnya perkhidmatan perbankan asas untuk orang ramai termasuk caj semasa dan berkaitan akaun simpanan akan kekal dikecualikan daripada cukai perkhidmatan untuk kedua-dua perkhidmatan perbankan konvensional dan Islam," kata kenyataan itu.

Untuk maklumat lanjut, ABM, AIBIM dan MIBA menasihati orang ramai untuk merujuk kepada pengumuman atau kenyataan daripada bank masing-masing, menerusi saluran rasmi bank terlibat.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM