fb fb fb fb fb

Cadangan Akta URA perlu libat semua pihak berkepentingan

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Kenneth Soh. Foto - BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Mei - Cadangan penggubalan Akta Pembaharuan Semula Bandar atau Urban Renewal Act (URA) perlu dilaksanakan secara inklusif dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan, termasuk pemilik rumah dan pemilik hartanah.

Menurut Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Kenneth Soh, pendekatan berteraskan rundingan menyeluruh amat penting bagi mencari titik persamaan antara semua pihak terlibat.

Beliau berkata, langkah itu juga selaras dengan prinsip keprihatinan terhadap kesejahteraan komuniti yang bakal terlibat dalam proses pembaharuan semula bandar.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas pelancaran Laporan Kelestarian PropertyGuru Group 2024 dan taklimat unjuran pasaran hartanah, di ibu negara.

Kenneth turut menyifatkan usaha kerajaan dalam memastikan suara penduduk, pemilik hartanah dan pihak industri diambil kira sebagai langkah progresif dan bertanggungjawab yang wajar dipuji.

Terdahulu, kerajaan mencadangkan penggubalan Rang Undang-Undang URA bagi membolehkan pembangunan semula kawasan perumahan lama dan usang di bandar-bandar utama.

RUU itu juga dijangka memberi kuasa kepada jawatankuasa eksekutif peringkat persekutuan dan negeri untuk memajukan semula bangunan atau tanah terbengkalai, tanpa memerlukan persetujuan seratus peratus daripada pemilik.

Sementara itu, mengulas isu tarif dan sentimen pasaran, Kenneth memaklumkan data carian pengguna di platform PropertyGuru menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang stabil dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Trend positif ini, katanya, juga menunjukkan bahawa hartanah masih dilihat sebagai aset pelaburan yang selamat, baik dalam kalangan pembeli tempatan mahupun pelabur asing.

Khususnya, bagi pembeli dari luar negara, mereka menyaksikan kemunculan semula pasaran hartanah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN