fb fb fb fb fb

Bursa rendah pada tengah hari ketika kebimbangan terhadap pertumbuhan global

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 17 November- Bursa Malaysia kekal rendah pada tengah hari ini, yang menggambarkan prestasi bursa serantau ketika wujudnya kebimbangan terhadap kelembapan ekonomi susulan kumpulan data yang kurang memberangsangkan, terutamanya dari Amerika Syarikat (AS) dan China.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.81 mata kepada 1,460.87 daripada 1,464.68 pada Khamis.

Indeks itu dibuka rendah 3.09 mata kepada 1,461.59 dan bergerak antara 1,459.33 dan 1,462.31 sepanjang dagangan sesi pagi.

Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 437 berbanding 332, manakala 442 kaunter tidak berubah, 1,179 tidak diniagakan dan 24 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.96 bilion unit bernilai RM856.58 juta.

Seorang penganalisis berkata aktiviti pasaran buruh AS memaparkan tanda-tanda kelembapan selepas lebih banyak rakyat di negara itu memfailkan tuntutan pengangguran pada minggu lepas, manakala data aktiviti ekonomi China yang tidak memberangsangkan turut memburukkan lagi kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi global.

Menurut laporan semalam, tuntutan faedah pengangguran AS mencapai paras tertinggi dalam tempoh tiga bulan bagi minggu berakhir 11 Nov, meningkat sebanyak 13,000 kepada 231,000 daripada minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, penganalisis berkata penyusutan dalam FBM KLCI dikekang dengan pengumuman bahawa ekonomi domestik mencatat pertumbuhan 3.3 peratus pada suku ketiga 2023 berbanding 2.9 peratus pada suku sebelumnya.

Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, meskipun dalam persekitaran global yang mencabar, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sekitar 4.0 peratus pada 2023 dan 4.0- 5.0 pada 2024.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan CIMB masing-masing tidak berubah pada RM9.14, RM4.24 dan RM5.78.

Petronas Chemicals rendah 12 sen kepada RM7.21 dan Tenaga Nasional berkurangan dua sen kepada RM9.97.

Bagi saham aktif, Hong Seng susut setengah sen kepada 3.5 sen dan Widad tidak berubah pada 46 sen, manakala Eden menokok 1.5 sen kepada 24 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menyusut 22. 98 mata kepada 10,805.32, Indeks FBMT 100 turun 22.79 mata kepada 10,468.16, Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 28.14 mata kepada 11,005.26, Indeks FBM ACE susut 2.29 mata kepada 5,116.52 dan Indeks FBM 70 turun 11.41 mata kepada 14,328.29.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 28.80 mata kepada 16,404.64, Indeks Tenaga turun 8.03 mata kepada 853.91, Indeks Perladangan rendah 18.86 mata kepada 6,988.06 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 0.72 mata kepada 173.72. -BERNAMA

SITI AISHAH BINTI MD ISA