KUALA LUMPUR, 8 Mei - Bursa Malaysia terus mencatatkan aliran meningkat pada dagangan awal hari ini, meneruskan paras tertinggi dalam tempoh dua tahun berikutan minat belian yang berterusan dan prestasi Wall Street semalaman yang positif, kata peniaga.
Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.71 mata kepada 1,608.39 daripada 1,605.68 semalam.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 1.28 mata kepada 1,606.96.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 220 berbanding 158 manakala 327 kaunter kekal tidak berubah dengan 1,624 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 192.48 juta unit bernilai RM93.48 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street sukar mengekalkan aliran meningkatnya yang berterusan berikutan peniaga masih menunggu lebih banyak petunjuk mengenai potensi pelarasan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan.
Dalam negara, katanya FBM KLCI akhirnya melepasi paras halangan 1,600 mata, disokong oleh belian saham mewah yang berterusan oleh dana asing.
“Walaupun kami lebih suka kenaikan itu berterusan, pembetulan mungkin berlaku, membolehkan pasaran menerima prestasi kukuh baru-baru ini, yang dianggap baik,” katanya kepada Bernama.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah tiga sen kepada RM9.87, Public Bank dan CIMB, masing-masing merosot satu sen kepada RM4.20 dan RM6.80, Tenaga Nasional berkurangan enam sen kepada RM12.42 dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM6.31.
Bagi saham aktif, Ingenieur berkurangan satu sen kepada 7.5 sen manakala TWL, Sapura Energy dan Jaks Resources, masing-masing tidak berubah pada 2.5 sen, lima sen dan 13.5 sen.
Sementara itu, He Group naik 4.5 sen kepada 57.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 21.31 mata kepada 12,119.78, Indeks FBMT 100 naik 19.19 mata kepada 11,735.04 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 24.30 mata kepada 12,327.18.
Indeks FBM 70 naik 25.40 mata kepada 16,939.22 dan Indeks FBM ACE meningkat 6.31 mata kepada 5,094.20.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 2.28 mata kepada 17,527.36, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.53 mata kepada 193.07, Indeks Perladangan merosot 6.03 mata kepada 7,433.62 dan Indeks Tenaga menambah 3.86 mata kepada 979.87. - BERNAMA