KUALA LUMPUR, 8 Mei - Minat belian yang berterusan mendorong lonjakan permodalan pasaran ekuiti hingga mencecah lebih RM2 trilion, kata Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng.
Menurut beliau ini berdasarkan aliran peningkatan semasa berterusan, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berupaya mencecah 1,660.00 mata tahun ini.
"Kami mengekalkan pandangan optimistik terhadap pasaran saham tempatan, disokong oleh penilaian yang menarik dan pelaburan asing yang berterusan.
"Walaupun kami mengakui potensi pengambilan untung dalam jangka masa pendek, kami percaya bahawa jika indeks penanda aras mampu kekal di atas paras 1,600 dalam tempoh yang berpanjangan, potensi peningkatan yang berterusan adalah lebih tinggi," katanya ketika dihubungi RTM.
Selain mencatatkan rekod baharu dalam permodalan pasaran ekuiti, indeks penanda aras FBM KLCI turut
melepasi 1,600 mata semalam.
Ia merupakan rekod peningkatan tertinggi buat pertama kali dalam tempoh dua tahun.
Indikator tersebut sekali gus mencerminkan kekukuhan pasaran modal dan ekonomi Malaysia.