fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia meningkat pada tengah hari

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 23 Januari- Bursa Malaysia meningkat ketika mengakhiri sesi dagangan pagi Selasa selepas mencecah seketika paras 1,500 dipacu oleh minat belian berterusan bagi saham-saham wajaran tinggi, didahului oleh kaunter berkaitan perbankan.

Ini menjelang keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) menerusi mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari yang dijadualkan pada 24 Jan, 2023.

Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 6.16 mata kepada 1,497.35 daripada paras 1,491.19 yang dicatatkan semalam.

Indeks penanda aras itu yang dibuka menokok 1.37 mata kepada 1,492.56, bergerak dalam julat 1,490.2 hingga 1,500.39 sepanjang sesi dagangan pagi ini.

Sentimen pasaran kekal positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 488 berbanding 404 manakala 419 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 961 tidak diniagakan dan 13 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 2.92 bilion unit bernilai RM1.66 bilion.

Dalam pada itu, kebanyakan penganalisis menjangkakan BNM mengekalkan OPR pada paras semasa iaitu 3.0 peratus dalam mesyuarat yang berlangsung esok.

Bank pusat itu bertindak mengekalkan paras sama pada mesyuarat terakhir 2023 iaitu untuk kali ketiga berturut-turut.

Saham perbankan menyaksikan Maybank naik tujuh sen kepada RM9.08 manakala CIMB menokok empat sen kepada RM6.01, Public Bank meraih dua sen kepada RM4.36, Hong Leong Bank menambah enam sen kepada RM19.08 dan RHB Bank meningkat tiga sen kepada RM5.60.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan minat belian kekal tinggi di peringkat tempatan susulan aliran peningkatan yang positif di Wall Street, malam semalam.

Pasaran saham Amerika Syarikat (AS) juga dijangka mencatat satu lagi pusingan kenaikan selepas hasil Perbendaharaan 10 tahun negara maju itu susut menjelang pengumuman beberapa data ekonomi utama, katanya.

"Sejajar dengan aliran peningkatan Wall Street, kami mengunjurkan sokongan belian itu akan turut melimpah di peringkat tempatan, terutamanya sektor teknologi,” kata firma pembrokeran itu.

Bagi saham wajaran tinggi lain, Petronas Chemicals naik tujuh sen kepada RM6.78; CelcomDigi susut satu sen kepada RM4.22, Press Metal berkurangan dua sen kepada RM4.76 manakalaTenaga tidak berubah pada RM10.48.

Dalam kalangan saham aktif, Widad Group naik 3.5 sen kepada 17 sen; Sarawak Consolidated meraih lima sen kepada 48.5 sen; YNH Property meningkat 22 sen kepada 77.5 sen; Leform menambah 2.5 sen pada 20.5 sen manakala Rapid Synergy meraih 30 sen kepada RM2.29.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas meraih 39.55 mata kepada 11,161.77; Indeks FBM 70 menambah 26.06 mata kepada 15,177.86; Indeks FBMT 100 menokok 37.88 mata kepada 10,818.17; Indeks FBM Emas Shariah meningkat 26.31 mata kepada 11,259.02 dan Indeks FBM ACE naik 16.6 mata kepada 4,850.4.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Hartanah menambah 7.2 mata kepada 912.8; Indeks Perladangan meningkat 30.94 mata kepada 7,181.67, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.49 mata kepada 173.92, Indeks Tenaga meraih 4.25 mata kepada 858.6 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 70.9 mata kepada 16,692.75.

Bursa Malaysia Bhd dan anak-anak syarikatnya akan ditutup pada Khamis, 25 Jan, 2024, sempena cuti Thaipusam dan akan beroperasi semula pada Jumaat, 26 Jan, 2024.- BERNAMA

 

ROSLINA BINTI DIN