fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia kembali meningkat pada sesi awal

Bursa Malaysia melantun daripada penyusutan semalam apabila meningkat dalam sesi dagangan awal hari ini, disokong oleh minat belian baharu selain menjejaki prestasi semalaman Wall Street yang kukuh / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 10 Mei - Bursa Malaysia melantun daripada penyusutan semalam apabila meningkat dalam sesi dagangan awal hari ini, disokong oleh minat belian baharu selain menjejaki prestasi semalaman Wall Street yang kukuh, kata peniaga.

Pada 9.05 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.31 mata kepada 1,603.53 daripada paras 1,601.22 yang dicatatkan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 2.24 mata kepada 1,603.46.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 213 berbanding 132 manakala 329 kaunter lain kekal tidak berubah, sebanyak 1,666 tidak diniagakan dan 26 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 241.88 juta unit bernilai RM96.43 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street meraih momentum selepas pengumuman tuntutan pengangguran mingguan di AS yang mencecah paras tertinggi sejak Ogos 2023.

Di peringkat tempatan, beliau berkata FBM KLCI menyaksikan pembetulan teknikal semalam selepas penjual terus mengekalkan dominasi berikutan kenaikan baru-baru ini.

“Namun, kami melihatnya sebagai pembetulan yang sihat dan menjangkakan indeks akan melantun dalam masa terdekat.

"Berikutan itu, kami percaya indeks penanda aras akan bergerak dalam julat 1,600-1,610 hari ini dengan minat yang kembali ketara terhadap segmen pembinaan serta syarikat telekomunikasi," katanya kepada Bernama.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank, CIMB dan Petronas Chemicals masing-masing kekal pada RM9.84, RM6.75 dan RM7, Public Bank naik dua sen kepada RM4.19 dan Tenaga Nasional susut empat sen kepada RM12.40.

Bagi saham aktif, Classita kekal pada empat sen, Pan Malaysia meraih 2.5 sen kepada 32 sen, Harvest Miracle dan Iconic masing-masing naik setengah sen kepada 11 sen dan 12.5 sen manakala SNS turun setengah sen kepada 52.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas menokok 18.45 mata kepada 12,103.72, Indeks FBMT 100 naik 16.47 mata kepada 11,715.84 dan Indeks FBM Emas Shariah meraih 14.12 mata kepada 12,309.86.

Indeks FBM 70 meningkat 22.17 mata kepada 16,978.27 manakala Indeks FBM ACE sebaliknya susut 5.11 mata kepada 5,165.38.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 22.82 mata kepada 17,493.47, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 0.08 mata kepada 192.73, Indeks Perladangan menokok 22.76 mata kepada 7,485.28 dan Indeks Tenaga susut 2.72 mata kepada 985.93.-BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN