fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia kekal rendah pada tengah hari

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 4 Disember- Bursa Malaysia kekal rendah ketika tengah hari pada Isnin, menjejaki prestasi suram bursa serantau.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KCI (FBM KLCI) kurang 3.66 mata atau 0.25 peratus kepada 1,452.72 daripada 1,456.38 semasa ditutup pada Jumaat minggu lepas.

Indeks penanda aras itu dibuka 1.41 mata lebih lemah kepada 1,454.97 sebelum bergerak di antara 1,451.69 hingga 1,457.02 sepanjang sesi pagi.

Lingkungan pasaran adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi untung sebanyak 502 berbanding 268, manakala 420 kaunter tidak berubah, 1,132 kaunter tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 1.87 bilion unit bernilai RM921.0 juta.

Di peringkat rantau, Nikkei Jepun turun 0.72 peratus kepada 33,190.0, Hang Seng Hong Kong susut 0.60 peratus kepada 16,729.01 dan SSE Shanghai kurang 0.04 peratus kepada 3,030.56.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pihaknya menjangkakan peniaga menumpukan Indeks Pengurus Pembelian (IPP) Perkhidmatan ISM serta data pekerjaan seperti tuntutan pengangguran, kadar pengangguran dan senarai gaji bukan ladang.

“Kami juga menjangkakan pelabur menilai semula dan mendagangkan saham syarikat yang mencatatkan pertumbuhan positif dari segi keuntungan susulan musim pelaporan November.

“Kami memilih sektor ternakan ayam itik, khususnya segmen telur memandangkan peniaga mungkin menunggu kenaikan harga siling telur,” jelasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah satu sen kepada RM9.01, CIMB naik tujuh sen kepada RM5.84, Public Bank susut tiga sen kepada RM4.29, Tenaga Nasional susut 12 sen kepada RM9.90 dan Petronas Chemicals merosot 15 sen kepada RM7.05.

Bagi kaunter paling aktif, Sapura Energy, Fitters dan Leform masing-masing tidak berubah pada 4.5 sen, lima sen dan 34 sen manakala Velesto susut setengah sen kepada 22 sen namun, Widad menambah setengah sen kepada 47.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 30.07 mata kepada 10,695.58, Indeks FBMT 100 kurang 30.91 mata kepada 10,363.87 dan Indeks FBM Emas Syariah susut 51.94 mata kepada 10,825.64.

Indeks FBM 70 merosot 62.81 mata kepada 13,985.24 dan Indeks FBM ACE turun 36.25 mata kepada 5,096.91.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 25.61 mata kepada 16,405.19 dan Indeks Perladangan menambah 0.52 mata kepada 6,990.93 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 1.76 mata kepada 170.23 dan Indeks Tenaga susut 6.24 mata kepada 809.36.- BERNAMA

ROSLINA BINTI DIN