fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia ditutup rendah susulan kekurangan pemangkin

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 28 Mei- Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini turun daripada kenaikan sebelumnya berikutan kekurangan pemangkin di tengah-tengah prestasi lemah di pasaran serantau, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.45 mata atau 0.15 peratus kepada 1,615.82 daripada paras penutup 1,618.27 pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran itu yang dibuka tinggi naik 2.38 mata kepada 1,620.65, turun naik antara paras 1,612.96 dan 1,622.93 sepanjang sesi dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 824 berbanding 352, dengan 518 kaunter tidak berubah, 730 tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 4.86 bilion unit bernilai RM3.79 bilion daripada 5.64 bilion unit bernilai RM3.92 bilion pada Isnin.

Ketua penyelidikan Apex Securities Bhd Kenneth Leong berkata FBM KLCI mencatatkan penurunan apabila indeks utama itu turun bagi sesi ketiga berturut-turut tanpa pemangkin baharu manakala pengambilan untung berlaku dalam lebih separuh daripada saham indeks utama.

Prestasi lemah pasaran itu juga sejajar dengan prestasi negatif di seluruh pasaran serantau, katanya.

Di peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun susut 0.11 peratus kepada 38,855.37, Indeks Hang Seng Hong Kong turun 0.03 peratus kepada 18,821.16, Kospi Korea Selatan turun 0.01 peratus kepada 2,722.85, dan Indeks Komposit SSE Shanghai jatuh 0.46 peratus kepada 3,109.57.

“Dari segi teknikal, FBM KLCI terus berada dalam aliran menurun. Buat masa ini kami menjangkakan fasa penstabilan dengan indeks utama dijangka bertahan pada paras 1,600,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata fokus utama sekarang kekal kepada pengumuman pendapatan korporat.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank turun satu sen kepada RM4.12, IHH Healthcare susut sembilan sen kepada RM6.20, Maybank tidak berubah pada RM9.99, manakala Tenaga Nasional naik empat sen kepada RM13.26 dan CIMB menokok satu sen kepada RM6.91.

Dalam kalangan kaunter cergas, Smart Asia Chemical yang memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE meningkat enam sen kepada 46 sen, GHL Systems naik empat sen kepada RM1.05, JCY International turun dua sen kepada 49.5 sen, Dagang NeXchange berkurangan satu sen kepada 46 sen, dan AHB Holdings jatuh lima sen kepada 15 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 36.10 mata kepada 12,311.02, Indeks FBMT 100 susut 33.59 mata kepada 11,910.70, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 56.44 mata kepada 12,569.57, Indeks FBM ACE berkurangan 60.36 mata kepada 5,489.56 dan Indeks FBM 70 turun 113.02 mata kepada 17,690.72.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 26.40 mata kepada 17,631.94, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.77 mata kepada 195.72, Indeks Tenaga berkurangan 6.96 mata kepada 992.45 dan Indeks Perladangan jatuh 12.42 mata kepada 7245.66.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 2.83 bilion unit bernilai RM3.32 bilion daripada 3.29 bilion unit bernilai RM3.33 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran jatuh kepada 1.03 bilion unit bernilai RM151.06 juta daripada 1.20 bilion unit bernilai RM191.64 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 997.14 juta saham bernilai RM320.67 juta daripada 1.14 bilion saham bernilai RM400.33 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 667.76 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (408.91 juta), pembinaan (221.99 juta), teknologi (490.83 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (129.49 juta), hartanah (286.10 juta), perladangan (31.35 juta), REITs (11.66 juta), dana tertutup (33,400), tenaga (130.58 juta), penjagaan kesihatan (130.49 juta), telekomunikasi dan media (49.31 juta), pengangkutan dan logistik (157.87 juta), utiliti (114.00 juta) dan amanah perniagaan (470,000).- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE