fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur susulan sentimen lemah pasaran serantau

BURSA MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 19 April- Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini dengan aktiviti membeli saham wajaran tinggi dan berkaitan komoditi terpilih di tengah-tengah sentimen negatif di pasaran serantau, kata seorang peniaga.

Pada pukul 5.00 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.81 mata atau 0.18 peratus kepada 1,547.57 daripada paras penutup 1,544.76 pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran yang dibuka tinggi naik 1.54 mata kepada 1,546.30, bergerak antara paras 1,545.90 dan 1,552.45 sepanjang sesi dagangan.

Suasana pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 918 berbanding 289, manakala 416 kaunter tidak berubah, 753 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 4.71 bilion unit bernilai RM3.40 bilion daripada 3.84 bilion unit bernilai RM2.62 bilion pada Khamis.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata indeks utama serantau ditutup rendah susulan kenaikan harga komoditi berikutan kebimbangan keadaan geopolitik yang memburuk di Asia Barat.

Selain itu, kenyataan daripada para pegawai Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang membayangkan kenaikan kadar menambahkan lagi tekanan kepada minat risiko terutamanya selepas Presiden Fed Atlanta Raphael Bostic memaklumkan bahawa bank pusat itu mungkin menaikkan kadar faedah sekiranya inflasi kekal di paras tinggi.

"Di bursa tempatan, kami menasihati para pelabur agar mengambil pendekatan lebih berhati-hati memandangkan risiko pasaran yang semakin meningkat, peningkatan turun naik pasaran global dan situasi geopolitik yang makin menegang.

"Oleh itu, kami menjangkakan indeks petunjuk pasaran terus stabil sehingga pemangkin baharu muncul,” katanya kepada Bernama.

Di peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun jatuh 2.66 peratus kepada 37,068.35, Indeks Hang Seng Hong Kong susut 0.99 peratus kepada 16,224.14, Kospi Korea Selatan turun 1.63 peratus kepada 2,591.86, Indeks Straits Times Singapura berkurangan 0.35 peratus kepada 3,176.51 dan Indeks Komposit SSE China merosot 0.29 peratus kepada 3,065.26.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun dua sen kepada RM9.65, CIMB susut tiga sen kepada RM6.56, Petronas Chemicals jatuh satu sen kepada RM6.83, Public Bank menokok satu sen kepada RM4.15 dan Tenaga Nasional tidak berubah pada RM11.60.

Dalam kalangan kaunter cergas, TWL Holdings dan Bina Puri Holdings tidak berubah masing-masing pada tiga sen dan lapan sen, My E.G. Services turun satu sen kepada 77 sen, Awanbiru Technology susut 10 sen kepada 22 sen dan Velesto Energy meningkat setengah sen kepada 27.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 20.90 mata kepada 11,596.07, Indeks FBM 70 susut 126.27 mata kepada 16,058.39, Indeks FBMT 100 jatuh 7.58 mata kepada 11,247.95, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 18.46 mata kepada 11,769.87 dan Indeks FBM ACE menyusut 88.54 mata kepada 4,858.98.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 21.20 mata kepada 7,375.65, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.04 mata kepada 184.49, Indeks Tenaga menokok 17.19 mata kepada 969.19 tetapi Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 13.86 mata kepada 17,118.78.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.77 bilion unit bernilai RM3.01 bilion berbanding 2.23 bilion unit bernilai RM2.31 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan Waran menambah kepada 1.23 bilion unit bernilai RM164.40 juta daripada 1.09 bilion unit bernilai RM152.72 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 702.72 juta saham bernilai RM222.46 juta daripada 507.34 juta saham bernilai RM162.95 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 394.74 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (555.15 juta), pembinaan (293.19 juta), teknologi (389.48 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (113.76 juta), hartanah (516.70 juta), perladangan (54.37 juta), REITs (21.33 juta), dana tertutup (107,700), tenaga (236.64 juta), penjagaan kesihatan (53.79 juta), telekomunikasi dan media (31.02 juta), pengangkutan dan logistik (40.53 juta), dan utiliti (65.82 juta). -BERNAMA

SITI AISHAH MD ISA