fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia dijangka kekal dalam fasa konsolidasi minggu depan

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 20 Januari- Bursa Malaysia dijangka kekal dalam fasa konsolidasi dengan kecenderungan sedikit positif pada minggu depan dan indeks petunjuk pasaran dilihat berada dalam julat 1,475-1,495.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata ahli ekonomi menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada tiga peratus sekurang-kurangnya sehingga akhir 2025.

“Kami percaya ini akan memberi keyakinan dalam ekonomi yang bertambah baik, menawarkan kestabilan yang lebih baik kepada pendapatan korporat dan, seterusnya, meningkatkan asas pasaran tempatan.

“Kami menjangka minat terhadap ekuiti Malaysia akan kekal kukuh berdasarkan jumlah dagangan harian yang baik. Bagaimanapun, pelabur kekal berhati-hati berikutan ketidaktentuan yang semakin meningkat dalam pasaran global,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata FTSE Bursa Malaysia KLCI mencatatkan kemerosotan berikutan jualan besar-besaran selepas melepasi paras halangan 1,500 pada Isnin.

Bagaimanapun, katanya indeks kekal kukuh melebihi purata pergerakan eksponen 20 hari, menunjukkan peluang yang tinggi untuk trajektori meningkat.

Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata harapan untuk penurunan kadar faedah yang segera telah terjejas berikutan data ekonomi yang kukuh dan respons yang negatif daripada penggubal dasar di Rizab Persekutuan dan Bank Pusat Eropah.

Bagaimanapun, katanya prospek bebas kemelesetan pada 2024 di Amerika Syarikat (AS) kekal positif yang tinggi untuk Bursa Malaysia, terutamanya bagi pengeksport pembuatan serta sektor minyak dan gas.

“Selain itu, pasaran niaga hadapan AS mengunjurkan penurunan sejumlah 145 mata asas sehingga Disember.

“Faktor ini boleh mewujudkan situasi yang menggalakkan untuk landskap tempatan jika pelabur dapat terus bersabar. Secara keseluruhannya, saya berpendapat kita hampir kepada asas jangka pendek dan trend yang lebih baik dijangka dicatatkan minggu depan,” katanya.

Bursa Malaysia bermula minggu ini dengan kukuh dan melepasi paras psikologi 1,500 yang kali terakhir dilihat pada Ogos 2022 dengan mencatatkan 1,501.11.

Bagaimanapun, bursa tempatan mencatatkan aktiviti pengambilan untung pada tiga hari berikutnya berikutan kekurangan sokongan belian susulan. Ia berjaya mencatatkan semula kenaikan pada Jumaat.

Minggu ini turut menyaksikan Bursa Malaysia dalam dagangan yang tidak menentu, dengan beberapa kaunter mencatatkan kenaikan harga maksimum dan penurunan harga maksimum.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, indeks barometer merosot 0.97 mata untuk mengakhiri minggu ini kepada 1,486.37 daripada 1,487.34 sebelum ini.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas Shariah susut 78.31 mata kepada 11,170.67, Indeks FBM 70 jatuh 122.42 mata kepada 15,041.39, Indeks FBM Emas naik 53.82 mata kepada 11,065.16, Indeks FBMT 100 berkurangan 27.59 mata kepada 10,734.29 dan Indeks FBM ACE merosot 591.28 mata kepada 4,790.15.

Mengikut sektor, Indeks Tenaga susut 22.39 mata kepada 843.32 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 1.93 mata kepada 173.92 manakala Indeks Perladangan meningkat 61.16 mata kepada 7,163.09 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 63.48 mata kepada 16,613.52.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 25.91 bilion unit bernilai RM14.69 bilion daripada 27.09 bilion unit bernilai RM16.66 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 16.10 bilion saham bernilai RM12.79 bilion daripada 18.34 bilion saham bernilai RM14.83 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 3.27 bilion unit bernilai RM425.21 juta daripada 3.85 bilion unit bernilai RM474.42 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 5.93 bilion saham bernilai RM1.48 bilion daripada 4.86 bilion saham bernilai RM1.35 bilion sebelum ini.-BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE