fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan

Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam jajaran kecil dengan kecenderungan meningkat, bergerak dalam julat 1,555-1,590 minggu depan / Foto Fail

KUALA LUMPUR, 27 April - Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam jajaran kecil dengan kecenderungan meningkat, bergerak dalam julat 1,555-1,590 minggu depan, kata penganalisis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata beliau meramalkan paras sokongan segera pada 1,555, diikuti dengan 1,545.

“Kami positif mengenai kembalinya dana asing ke rantau ini dan menjangkakan pembelian akan diteruskan sehingga minggu depan. Bagaimanapun, kami tidak menolak kepada kemungkinan aktiviti pengambilan untung.

"Indeks petunjuk pasaran melepasi paras rintangan kukuh pada 1,570 dan meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh dua tahun pada Rabu. Meskipun terdapat penyusutan selepas kenaikan, kami menyifatkan pembetulan ini sebagai konsolidasi positif yang diperlukan untuk mengekalkan aliran meningkat," katanya kepada Bernama.

Walaupun beliau menjangkakan kenaikan mereda seketika berikutan peningkatan kukuh, katanya FBM KLCI telah mengekalkan kedudukan positif melepasi semua Purata Pergerakan Eksponen (EMA).

"Trajektori meningkat EMA selama 20 hari menunjukkan indeks ini berada dalam mod konsolidasi dengan kecenderungan positif," katanya.

Pada Rabu, Bursa Malaysia ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh dua tahun dengan indeks utama meningkat 0.63 peratus kepada 1,571.48, dipacu prospek positif di bursa tempatan dan ketika prestasi memberangsangkan oleh syarikat serantau.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 27.59 mata kepada 1,575.16 berbanding 1,547.57 minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 230.72 mata kepada 11,826.79, Indeks FBM 70 naik 358.39 mata kepada 16,416.78, Indeks FBMT 100 meningkat 213.50 mata kepada 11,461.45, Indeks FBM Emas Syariah menokok 222.08 mata kepada 11,991.95, dan Indeks FBM ACE menambah 203.03 mata kepada 5,062.01.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 27.30 mata kepada 7,402.95, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.84 mata kepada 187.33, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 185.03 mata kepada 17,303.81 dan Indeks Tenaga menokok 8.23 mata kepada 977.42.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 19.55 bilion unit bernilai RM14.43 bilion berbanding 21.21 bilion unit bernilai RM15.66 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 11.43 bilion saham bernilai RM12.71 bilion daripada 12.51 bilion saham bernilai RM13.95 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 5.16 bilion unit bernilai RM702.34 juta berbanding 5.38 bilion unit bernilai RM662.45 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 2.93 bilion saham bernilai RM1.02 bilion berbanding 3.27 bilion saham bernilai RM1.04 bilion sebelumnya.-BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN