fb fb fb fb fb

Akaun ketiga KWSP ibarat 'tabung kecemasan' bila terdesak

Gambar fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 April - Pengenalan Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disifatkan seiring dengan cabaran ekonomi semasa yang mampu membantu pencarum memiliki tabung kecemasan.

Orang ramai yang ditemui RTM berpendapat, akaun ketiga itu dapat membantu pencarum mengeluarkan duit jika dalam keadaan terdesak.

"Saya rasa benda itu langkah yang bagus sebab saya salah seorang yang terkesan dengan kos sara hidup yang tinggi jadi dengan akaun ketiga itu sedikit sebanyak boleh membantu saya dan keluarga saya untuk teruskan kami punya kehidupan," kata Meor Azlan Shah.

"KWSP ini untuk simpanan masa depan kan tetapi ada sesetengah orang juga memerlukan duit, mungkin akaun ketiga ini bermanfaat lah untuk mereka yang memerlukan duit sahaja lah," kata Harith Abdul Hadi.

"mana yang memerlukan boleh guna ini boleh juga merancakkan ekonomi...pekerja2 kita dapat keluarkan duit sendiri untuk bantu ekonomi keluarga dia ke perbelajaan dia ke mana yang terkurang itu mereka tak perlu berhutang," kata Muhammad Hanis.

KWSP semalam mengumumkan inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP berkuat kuasa 11 Mei 2024 dengan semua akaun ahli di bawah umur 55 tahun.

KWSP dalam kenyataan memaklumkan ahli diberi pilihan sekali saja untuk memindahkan sebahagian daripada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera mereka (sebelumnya Akaun 2) sebagai amaun permulaan ke dalam Akaun Fleksibel.

Baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera, manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar.

Susulan pengumuman terbaharu daripada KWSP, orang ramai menyambut baik inisiatif penubuhan akaun ketiga tersebut.

GRACE AISYAH KEDAYAN