fb fb fb fb fb

Bursa Malaysia dibuka tinggi sejajar dengan Wall Street

Bursa Malaysia meningkat semula untuk dibuka tinggi hari ini, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street yang kukuh pada Jumaat lepas / Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 4 Mac - Bursa Malaysia meningkat semula untuk dibuka tinggi hari ini, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street yang kukuh pada Jumaat lepas.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 6.77 mata kepada 1,544.79 daripada 1,538.02 pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 1.08 mata kepada 1,539.10.

Bagaimanapun, dalam pasaran secara menyeluruh, sentimen adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 211 berbanding 191 manakala 291 kaunter tidak berubah, 1,567 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 256.80 juta unit bernilai RM115.54 juta.

Dalam nota penyelidikan, Malacca Securities Sdn Bhd berkata Wall Street ditutup tinggi pada Jumaat lepas berikutan pelabur menyasarkan syarikat teknologi bermodal besar dengan potensi pertumbuhan daripada kecerdasan buatan untuk mengatasi inflasi.

“Pasaran saham Eropah dan Asia ditutup tinggi dan pasaran saham Asia ditutup tinggi selepas data PMI pembuatan China sejajar dengan anggaran konsensus,” katanya.

Oleh itu, firma broker itu percaya sentimen positif akan meluas ke arah saham pasaran tempatan pada minggu ini.

“Kami menjangka peniaga akan melihat kepada sektor komoditi selepas harga minyak mentah Brent dan harga emas kukuh, kaunter minyak dan gas dijangka terus mencatatkan tinggi manakala saham berkaitan emas dijangka diniagakan positif pada minggu ini,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik enam sen kepada RM9.51, CIMB meningkat 13 sen kepada RM6.47, Public Bank menambah dua sen kepada RM4.38 dan Tenaga Nasional naik empat sen kepada RM11.34 manakala Petronas Chemicals merosot tiga sen kepada RM6.90.

Bagi saham aktif, Harvest Miracle Capital naik setengah sen kepada 15.5 sen, Hong Seng Consolidated dan TWL Holdings, masing-masing tidak berubah pada 1.5 sen dan 3.5 sen manakala Widad Group berkurangan setengah sen kepada 11.5 sen dan Jaks Resources merosot satu sen kepada 16.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 33.66 mata kepada 11,443.97, Indeks FBMT 100 menambah 34.72 mata kepada 11,109.49 dan Indeks FBM ACE meningkat 4.58 mata kepada 4,764.94 manakala Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 0.39 mata kepada 11,471.16 dan Indeks FBM 70 merosot 9.59 mata kepada 15,375.13

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 100.29 mata kepada 17,275.52, Indeks Perladangan naik 17.33 mata kepada 7,241.19 dan Indeks Tenaga menambah 5.89 mata kepada 915.54 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.26 mata kepada 175.52.-BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN